Semalam, saya berkesempatan makan tengahari bersama Tengku Razaleigh Hamzah, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, selepas solat Jumaat di Masjid Kampong Pandan. Tiga hari sebelum itu, saya sempat bertanya soalan cepumas kepada Ku Li di majlis Pelancaran Buku Memoir beliau oleh Tun Musa Hitam.
Ku Li ini sungguh istimewa kerana memiliki daya ingatan yang tajam, mirip dengan Arwah Negarawan Bangsa Tun Hanif Omar dan Tan Sri Syed Daniel. Dalam bahasa Inggeris, mereka sering dikatakan mempunyai ingatan seperti “the elephant’s memory”. Pertemuan kami berlangsung mesra, dan saya sempat menceritakan pengalaman saya berkhidmat sebagai Ketua Akauntan. Bekas majikan saya sering bercerita tentang pengalamannya bekerja secara sukarela sebagai ahli think tank negara, menyediakan kertas kerja untuk projek-projek penting, khususnya untuk orang Melayu.
Menurut cerita, bekerja dengan Ku Li tidak pernah melelahkan atau membosankan walaupun harus bekerja siang dan malam. Aura dan ketokohan Ku Li membuat semua orang bersemangat, ditambah lagi dengan kemahiran komunikasi (PR) beliau yang luar biasa. Ku Li sendiri berada di lapangan, menyediakan makanan dan minuman untuk semua yang terlibat.
Kita bayangkan betapa besarnya jasa Ku Li kepada negara. Beliau bernasib baik kerana mendapat sokongan tenaga sukarela dari rakan-rakan Allahyarham Tun Razak sejak zaman mereka belajar di Malay College Kuala Kangsar. Ini adalah salah satu keistimewaan Ku Li yang selalu diingatkan oleh Allahyarham kawan baik saya, Dato’ Seri Rahim Baba (bekas senator), sezaman dengan abang saya, Dahalan Embun (bekas senator).
Abang saya, Dahalan Embun, sering menceritakan kebaikan peribadi Ku Li. Pada zaman Team A (Mahathir) melawan Team B (Ku Li) dahulu (1988), abang saya yang menjadi penyokong nombor satu di Perlis selalu kagum dengan Ku Li. Ketika Ku Li berada di luar negara, beliau pasti akan mengirimkan poskad yang ditulis dan ditandatangani sendiri. Ini menunjukkan betapa perihatin dan mengutamakan hubungan persahabatan walaupun dalam kesibukan urusan negara.
Saya juga pernah terlibat dalam satu insiden di mana salah satu syarikat mendapat kontrak “supply of coin blank” dengan Bank Negara yang kemudian dibatalkan. Ini kerana salah seorang pengarah syarikat tersebut adalah kekanda Ku Li. Ku Li, yang ketika itu Menteri Kewangan, mengambil tindakan membatalkan kontrak tersebut demi menjaga integriti dan tatakelola. Ketua Eksekutif syarikat, Tengku Annuar, memberitahu saya bahawa perlantikan kekanda Ku Li itu tiada kaitan dengan niat mendapat kontrak, tetapi syarikat tersebut memang layak dan merupakan pembekal terkenal dari Jerman.
Dalam perbualan kami semalam, saya mengambil kesempatan ini untuk berharap agar Kerajaan MADANI, terutama pimpinan utama negara, membuat engagement secara terhormat dengan Ku Li. Pengalaman dan ingatan Ku Li adalah aset berharga bagi negara. Beliau pernah berkata kepada saya bahawa beliau tidak mahu menjadi Perdana Menteri, meskipun pernah ditawarkan semasa Tun Hussein Onn menjadi PM. Beliau hanya ingin bekerja untuk negara.
Alhamdulillah, Ku Li masih sihat walafiat walaupun beliau baru-baru ini terjatuh dan mengalami kecederaan di kepala. Kita doakan agar beliau panjang umur. Seperti yang pernah disebut oleh Allahyarham Rahim Baba, “Ku Li adalah Ku Li yang belum lagi rakyat Malaysia miliki sebagai Perdana Menteri.”
Untuk rekod, semasa pertarungan sengit antara Ku Li dan Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO pada tahun 1988, saya dan abang saya, Dahalan, menyokong Ku Li. Kami merupakan wakil Bahagian Arau ke Perhimpunan Agung UMNO ketika itu. Jika tidak kerana tindakan Dato’ Seri Najib (Ketua Pemuda UMNO Malaysia) yang membuat keputusan saat akhir, mungkin Ku Li sudah menjadi Perdana Menteri kita. Namun, semuanya adalah takdir Illahi.

Sebagai penutup, saya mengajak semua untuk membeli dan membaca buku Memoir Ku Li. Di dalamnya terdapat sejarah berharga yang tidak tercatat di mana-mana dan akan menjadi bahan rujukan penting bagi para pengkaji dan sarjana bangsa di masa depan.

YM Tg adalah seorang pemimpin yang betul sayang kan rakyaat dan negara ini. Pada pendapat saya beliau satu2 tokoh yang dapat menyelamatkan negara ini dari masaala economy.