April 5, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Surau yang Diruntuhkan: Antara Niat Baik dan Hak Milik

Oleh Nor Zabetha

Dalam kehidupan, ada perkara yang kita rasa betul tetapi akhirnya tertakluk kepada undang-undang yang lebih besar. Kisah ini mengingatkan kita bahawa niat baik tidak semestinya dapat mengatasi peraturan yang telah ditetapkan.

Sekitar tahun 2017, seorang pesara bersama rakan-rakannya membina sebuah surau kecil di kawasan lapang belakang rumahnya. Tujuan mereka mudah, memudahkan ibadah bagi penduduk setempat yang jauh dari masjid. Mereka yakin tanah itu milik kerajaan negeri, lebih-lebih lagi kerana kawasan itu telah lama tidak dimiliki sesiapa. Malahan, sebelum memulakan pembinaan, mereka telah membayar pampasan kepada individu yang bercucuk tanam di situ, walaupun orang itu bukan pemilik sah.

Sebagai langkah berhati-hati, mereka berulang kali ke pejabat tanah untuk mendapatkan kepastian. Setelah mendapat lampu hijau secara lisan, mereka membina surau kecil itu dengan kos hampir RM100,000. Surau itu menjadi tempat solat berjemaah dan pusat aktiviti kecil-kecilan bagi masyarakat Islam yang bukan majoriti di kawasan tersebut.

Namun, beberapa ketika selepas surau itu dibina, satu tuntutan mahkamah difailkan oleh jiran sebelah yang mendakwa bahawa surau itu telah dibina di atas tanah miliknya. Perkara ini menimbulkan persoalan besar, mengapa pemilik tanah tidak membantah semasa proses pembinaan yang memakan masa berbulan-bulan? Mengapa hanya selepas surau siap, tuntutan ini dibuat?

Pertembungan Fakta dan Undang-Undang

Kes ini menjadi rumit apabila didapati terdapat percanggahan dalam dokumen rasmi mengenai saiz sebenar tanah plaintif. Ada dokumen yang menyatakan saiznya hanya 1,700 kaki persegi, manakala dokumen lain menunjukkan saiznya adalah 3,200 kaki persegi, merangkumi tapak surau tersebut. Jika benar tanah itu hanya 1,700 kaki persegi, maka surau tidak menceroboh. Tetapi jika benar tanah itu 3,200 kaki persegi, maka surau berada di dalam kawasan hak milik orang lain.

Di peringkat Mahkamah Sesyen, mahkamah memihak kepada pihak pembinaan surau. Namun, pemilik tanah merayu ke Mahkamah Tinggi, dan di peringkat ini keputusan berubah. Mahkamah memutuskan bahawa ukuran 3,200 kaki persegi adalah sah dan telah diendorse oleh Pejabat Tanah dan JUPEM, sekali gus mengesahkan bahawa surau itu dibina atas tanah orang lain.

Rayuan ke Mahkamah Rayuan juga tidak membuahkan hasil, dan akhirnya surau tersebut diperintahkan untuk dirobohkan. Kos perobohan dan pembersihan pula terpaksa ditanggung oleh pesara yang membinanya.

Hak Milik dan Realiti Kehidupan

Kisah ini adalah satu pengajaran besar tentang kepentingan memahami undang-undang tanah. Seikhlas mana pun niat kita, undang-undang tetap menjadi pemutus utama. Tidak kira sama ada sesuatu tanah itu tidak digunakan, dibiarkan kosong, atau nampak seperti tidak bertuan, jika ada pemilik yang sah, maka hak itu tetap terpelihara.

Apa yang menarik isu terkini, pemilik tanah (JAKEL) sebenarnya cuba mencari penyelesaian yang baik tanpa melibatkan mahkamah.

Kita boleh melihat kes ini dari dua sudut, satu dari sisi perundangan yang tegas, dan satu lagi dari sisi sosial yang lebih bertolak ansur. Ada kalanya, kita perlu lebih berhati-hati dalam memahami hak milik sebelum bertindak, agar usaha baik yang kita lakukan tidak berakhir dengan kekecewaan.