April 1, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Bumiputera tolak URA?

Cara beberapa pihak dikalangan pemegang-taruh bumiputera menentang RUU ini dan cara kerajaan menangkisnya, menggambarkan seolah-olah beberapa kelompok dikalangan bumiputera, menolak usaha pembangunan semula bandar.

Adakah itu benar?

Mari kita selami kemelut ini bagi mencari jawapannya.

Realitinya, pertembungan ini adalah manifestasi betapa lemahnya libaturus diantara institusi eksekutif yang kendalikan perancangan pembaharuan semula bandar, dengan kumpulan yang kritikal terhadap usaha ini.

Sepatutnya, penampilan institusi politik tidak diperlukan pada masa ini, kerana peranan mereka sebagai institusi legislatif ialah menunggu RUU itu dibawa ke Parlimen, untuk dibahaskan, diperakukan dan diangkat untuk diperkenan oleh Majlis Raja-Raja, bagi ianya diwartakan.

Sidang Jawatankuasa Pemandu MPM pada 20 Mac 2025 lepas dan kenyataan media yang disiarkan selepas itu, menggambarkan pandangan NGO berkenaan, serta syornya bagi perbetulkan proses penyediaan RUU itu sebelum ia diangkat ke Parlimen.

Jika keadaan semakin bising di bawah sana, maknanya mereka yang kritikal terhadap RUU itu masih tidak puas hati. Atau, ada kandungan RUU itu yang mereka masih kurang jelas. Atau, ada jaminan yang mereka ingin tuntut bagi pastikan RUU ini manfaatkan mereka.

Malangnya, institusi eksekutif yang bertanggung-jawab dengan penggubalan RUU ini bersikap menyorok di belakang tabir. Institusi ini memilih membiarkan saja jeritan demi jeritan sahut-menyahut dan menjadi bahan untuk dipolitikkan.

Sikap sebeginilah yang sebenarnya cetuskan isu yang tidak sepatutnya dipolitikkan, menjadi isu politik.

Cubalah institusi eksekutif yang bertanggung-jawab dengar betul-betul jeritan mereka. Fahami punca jeritan itu dan perjelaskan kepada mereka

bagaimana RUU ini akan tangani isu yang mereka jeritkan itu. Silalah berusaha lebih gigih untuk yakinkan mereka bagaimana RUU ini akan manfaatkan mereka.

Dipaparkan di sini satu contoh mengapa mereka menjerit.

Kita semua maklum trajedi Kampong Kerinchi menjadi Bangsar South. Dikalangan mereka yang menjerit itu tidak mahu trajedi pembangunan Kampung Kerinchi berulang bila RUU ini dilaksanakan kelak. Kita semua lihat sendiri bukti dan impak model pembangunan semula bandar yang menakutkan itu. Penduduk asal Kampong Kerinchi sudah dihumban jauh. Yang kini menghuni Bangsar South ialah orang lain yang berpoket besar, malah mungkin ada warga asing atas nama Program MM2H (Ma/aysia My Second Home Program).

Ada beberapa Iagi contoh pembangunan yang menakutkan mereka, tetapi bagi tujuan penulisan rencana ini memadailah dipaparkan satu contoh itu.

Persoalannya ialah bagaimana institusi eksekutif terbabit mampu tangkis jeritan yang kaitkan bukti itu, yang dibimbangi akan berulang, jika RUU ini diluluskan?

Sayugia diingatkan, mereka yang menjerit itu sudah baca deraf RUU yang disediakan.Ada banyak kandungan deraf itu yang menakutkan mereka. Adakah pihak Jabatan Peguam Negara juga sudah adakan sesi libaturus dengan para penjerit ini? Jeritan itu turut menggambarkan sikap Jabatan Peguam Negara, yang tidak ambil peduli kebimbangan rakyat, apatah lagi pandangannya.

Inilah masaalah kita. Bila masaalah ini gagal ditangani dengan baik dan bijaksana, ini lah jadinya.

Moral kemelut ini ialah apa dah jadi dengan akujanji yang terkandung dalam piagam setiap institusi eksekutif, yang terpapar pada dinding pejabat sebaik saja memasuki sesebuah institusi eksekutif di negara ini. Konon kata piagam itu ialah memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pemegang-taruh.

Jika itu piagamnya, mengapa bila ada kelompok pemegang-taruh menjerit, diabaikan saja jeritan mereka? Kenapa enggan mendengar? Mungkin ada syor penambahbaikan yang ingin mereka kemukakan.

Mereka bimbang.

Dalam preamble RUU itu tiada jaminan akan kesaksamaan hak dan peluang kepada bumiputera. Saiz poket mereka secara amnya jauh lebih kecil berbanding orang lain. Jika itu isunya, bagaimana akta ini boleh beri jaminan kesaksamaan hak dan peluang kepada mereka kelak?

Mereka bimbang.

Dalam deraf RUU itu, pemilihan pemaju berdasarkan meritokrasi, bukan integriti dan agenda kepentingan nasional. Apa akan jadi jika pemaju terpilih dikalangan mereka yang rakus untung, abaikan keharmonian dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Apa akan terjadi jika pemaju itu depannya ialah pemaju tempatan yang nampak berintegriti, tetapi dibelakangnya ialah pemaju global yang ada agenda kapitalis, yang mampu musnahkan agenda nasional? Siapa boleh berikan jaminan yang keadaan ini tidak akan terjadi?

Mereka bimbang.

Dalam pembangunan yang pasti jauh lebih padat, integrasi kaum, agama dsb akan lebih mencabar. Dimana dalam deraf RUU itu yang berikan jaminan pendidikan berterusan integrasi sosial akan menjadi keutamaan kerajaan?

Mereka bimbang.

Jika sekarang ini pun institusi eksekutif berkaitan memilih jauhkan diri dan enggan membina budaya ‘common mind dengan pemegang-taruh, sekaligus menafikan piagam yang telah mereka akujanji, bila akta ini dilaksanakan nanti, mereka khuatir institusi ini akan terus enggan mendengar suara mereka, lebihlebih lagi andaikata mereka berdepan masaalah yang dicetuskan oleh pemaju. Kepada siapa mereka hendak mengadu?

Hakikatnya, para pemegang-taruh ini ada banyak kebimbangan yang wajib diredakan oleh semua institusi eksekutif terbabit dengan penggubalan URA ini. Tolonglah redakan kebimbangan mereka. Tolonglah bina keyakinan bahawasanya URA ini akan manfaatkan mereka.

Pada hemat saya, kemelut ini bukanlah satu isu politik yang sensitif. Kemelut boleh ditangani dengan bijaksana dan berhemah, andaikata pemegang-taruh yang menjerit dan semua institusi eksekutif yang terkait dengan penggubalan akta ini, miliki budaya ‘common mind’, untuk bertindak secara bersama dan bermuafakat.

Hendaknya sempena kita semua berada dalam malam sepuluh Ramadan terakhir, Malam Lailatul Qadr, kita diberikan ganjaran oleh-Nya Yang Maha Esa. Ganjaran itu ialah kepada kesediaan kita semua mendakap budaya ‘common mind’ dan bermuafakat menangani kemelut berkaitan penggubalan URA ini.

Hatta, jawapan kepada persoalan yang diajukan bukanlah bumiputera itu sewenang-wenangnya menolak sesuatu yang baik untuk negara. Kunci kepada penyelesaian kemelut ini ialah kesediaan dan kesungguhan semua

kelompok pemegang-taruh, terutama institusi eksekutif dan NGO yang wakili suara rakyat, untuk bermuafakat dan membina budaya ‘the common mind’ dikalangan mereka. Bila itu terjadi, dengan sendirinya jalan penyelesaian kepada apa jua kemelut yang melintang, akan terdampar.